Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Antarabangsa Jerudong
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Februari. - Sekolah Antarabangsa Jerudong (Jerudong International School-JIS) telah menjadi tuan rumah kepada FOBISIA Model United Nations (MUN) Conference 2026 dari 6 hingga 8 Februari 2026, dengan mengalu-alukan perwakilan pelajar dari seluruh rangkaian FOBISIA ke kampus JIS di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Persidangan tiga hari berkenaan telah menghimpunkan pelajar daripada pelbagai sekolah antarabangsa untuk terlibat dalam perbahasan yang bermakna, penyelesaian masalah secara kolaboratif dan perbincangan diplomatik di bawah tema 'Finding Unity in Uncertainty'.
Para perwakilan meneroka cabaran global yang kompleks, sambil mengembangkan kemahiran mereka dalam pemikiran kritis dan pengucapan awam.
Penceramah utama pada majlis perasmian dan penutupan termasuk Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke NBD, Tuan Yang Terutama Ken O'Flaherty; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke NBD, TYT Sun Nahm-kook; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke NBD, Puan Yang Terutama Caryn Roberta McClelland, yang berkongsi pandangan tentang diplomasi, kepimpinan dan kerjasama antarabangsa.
Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian termasuk HELP International School (Kuala Lumpur), Denla British School (Bangkok), Kellett School Hong Kong, elc International School (Kuala Lumpur), The British School New Delhi, The British School Manila, Network International School (Yangon), JIS dan Kinabalu International School (Kota Kinabalu).
Sepanjang persidangan, para pelajar bekerja dalam jawatankuasa untuk mewakili negara dan perspektif yang berbeza, berusaha untuk membina kata sepakat dan mencadangkan penyelesaian yang bermakna kepada isu-isu antarabangsa kontemporari.
Penganjuran Persidangan FOBISIA MUN berkenaan mencerminkan komitmen JIS untuk menyediakan pengalaman akademik yang memperkaya pelajar di luar bilik darjah. Acara seperti MUN memperkasa golongan muda untuk terlibat dengan hal ehwal global, mengamalkan dialog yang saling menghormati serta membangunkan kemahiran kepimpinan yang akan memberi manfaat kepada mereka dalam pengajian dan kerjaya masa depan mereka.
Pengetua Eksekutif JIS, Nicholas Sheehan menyatakan bahawa Persidangan FOBISIA MUN telah menyediakan satu platform yang sangat baik untuk pelajar meneroka cabaran global, bertukar perspektif dan membangunkan kemahiran penting dalam diplomasi dan kepimpinan.
“Kami berbesar hati dan berbangga untuk menganjurkan acara yang menggalakkan perbincangan yang bernas, kerjasama dan pemahaman yang lebih mendalam tentang tanggungjawab kewarganegaraan global.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tulus ikhlas kepada Penyelaras MUN kami, Claire Shearman dan Joe Wall, atas dedikasi mereka dalam menjayakan persidangan yang begitu berjaya dan bermanfaat ini," ujarnya lagi.